
Lelaki Disyaki Mabuk Rempuh Van, Enam Termasuk Kanak-Kanak Cedera
KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol selepas kenderaannya terbabit kemalangan sehingga menyebabkan enam individu termasuk kanak-kanak cedera di Jalan Pintasan Kajang-Semenyih, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata kemalangan berlaku pada 1.20 pagi melibatkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Range Rover Velar dipandu suspek berusia 51 tahun dan sebuah van jenis Mazda.
“Kemalangan berlaku apabila kenderaan SUV hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang van menyebabkan kenderaan tersebut terbalik ke kiri jalan.
"Akibat kemalangan itu, pemandu van dan lima penumpang berusia tujuh hingga 51 tahun mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Kajang dan Hospital Serdang manakala pemandu SUV tidak cedera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata suspek direman dua hari sehingga esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta berhubung dengan pegawai penyiasat Sarjan Nurul Shaffika Mohd Shair menerusi talian 013-2091766.


![Pemandu Range Rover Mabuk Rempuh MPV Di Kajang, 6 Individu Cedera [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/politics.jpeg)