
SUNGAI PETANI - Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun, selepas dia didakwa meminta wang daripada pengguna jalan raya sambil membawa parang di sekitar kawasan Taman Pekan Baru, di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, suspek ditahan ketika berada berhampiran sebuah restoran kira-kira jam 11 malam semalam.
“Tiada sebarang objek tajam ditemukan pada suspek ketika ditahan. Semakan juga mendapati lelaki berkenaan mempunyai dua rekod lampau berkaitan kes dadah.
“Buat masa ini, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Penahanan itu dibuat susulan beberapa hantaran di media sosial yang mendakwa lelaki berkenaan kerap dilihat berkeliaran di kawasan parkir di Taman Pekan Baru sambil membawa parang.
Dia turut didakwa memarahi beberapa pengguna jalan raya selepas mereka enggan memberikan wang diminta, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan orang awam di kawasan berkenaan.
Sehubungan itu, Hanyan meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan, termasuk mereka yang didakwa pernah diganggu, diugut atau menjadi mangsa sebarang perbuatan jenayah membabitkan lelaki itu, tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan.
Beliau turut menasihatkan orang awam supaya segera menghubungi talian 999 sekiranya terserempak dengan individu yang membawa senjata dan berkeliaran di tempat awam, bagi membolehkan tindakan segera diambil pihak polis.
“Orang ramai dinasihatkan menyalurkan sebarang maklumat melalui saluran yang betul kepada pihak polis dan bukannya menjadikan kejadian seumpama ini sebagai kandungan media sosial untuk dimuat naik atau disebarkan,” katanya. - Getaran, 10 September 2026






