
TAWAU: Seorang lelaki ditemui meninggal dunia di sebuah parit berair berhampiran Pusat Komersil Ba Zhong di tepi pusat bandar di sini, kira-kira jam 12 tengah hari Selasa.
Lokasi penemuan mayat lelaki itu juga berada di sekitar laluan tumpuan antara pusat bandar dengan Kampung Titingan, Program Perumahan Rakyat (PPR) Sri Titingan dan Jalan Damai.
Ketika ditemui, lelaki itu didapati berpakaian lengkap dengan baju lengan pendek dan seluar panjang hitam serta terdapat kesan kecederaan pada mukanya.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Kehadiran mayat itu pada awalnya disedari orang awam sebelum aduan dibuat kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau.
Penemuan itu menimbulkan kesesakan lalu lintas apabila orang ramai turut mengerumuni lokasi berkenaan, sebelum pihak polis tiba untuk mengawal keadaan.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin mengesahkan penemuan itu namun identiti mangsa belum dikenal pasti berikutan tidak ada dokumen pengenalan diri ditemui.
“Mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Tawau untuk tujuan bedah siasat dan setakat ini pihak polis mengklasifikasikan kes ini sebagai laporan kematian mengejut (SDR),” katanya.
Saksi kejadian turut diminta menyalurkan maklumat kepada polis sementara orang ramai yang kehilangan anggota keluarga diminta tampil membuat laporan polis untuk pengecaman mayat.


