
Lelaki Ditemui Maut Dengan 16 Kesan Tikaman
Seorang lelaki ditemui maut di sebuah rumah kedai berhampiran Taman Abad, Johor Bahru pada Rabu.
Mangsa yang merupakan lelaki warga asing ditemukan dengan 16 kesan tikaman pada tubuhnya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintenden Lim Jit Huey, mengesahkan bahawa pihaknya menerima laporan mengenai penemuan tersebut daripada orang awam sekitar jam 7.25 malam.
“Siasatan awal daripada laporan polis mendapati mangsa merupakan seorang lelaki warganegara asing berusia 50 tahun dan ditemui dalam keadaan terbaring.
“Terdapat lebih 16 kesan luka kecederaan tikaman,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak polis kini sedang giat mengesan suspek dan senjata yang digunakan dalam kejadian terbabit.
Tambah beliau, kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi talian hotline IPD JBS menerusi 07-2182323,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
The post Lelaki Ditemui Maut Dengan 16 Kesan Tikaman appeared first on Siakap Keli.


