Pengawal keselamatan ditemukan maut dalam longkang

26 Aug 2026 • 10:07 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pengawal keselamatan ditemukan maut dalam longkang

KUALA PILAH – Seorang pengawal keselamatan berusia 26 tahun ditemukan meninggal dunia di dalam longkang berhampiran Jalan Kampung Pasir Ambor Dalam, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mangsa yang terbaring di tepi jalan di kawasan berkenaan kira-kira pukul 8.40 pagi.

Menurutnya, susulan laporan itu, Ketua Polis Balai Kuala Pilah bersama pegawai penyiasat bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa ditemukan di dalam sebuah longkang berhampiran jalan dengan terdapat ranting serta batang pokok yang patah di kawasan tersebut.

“Pemeriksaan awal ke atas tubuh mangsa bagaimanapun tidak menemukan sebarang kesan pukulan, kelar atau tanda-tanda pergaduhan yang boleh mengaitkan unsur jenayah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pasukan D10 Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan turut hadir menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian, namun tidak menemukan sebarang petunjuk menunjukkan berlakunya unsur jenayah.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa yang merupakan lelaki Melayu dan beralamat di kawasan Kampung Pasir Ambor mempunyai sejarah penyakit sawan sejak kecil.

“Berdasarkan keterangan ahli keluarga, mangsa juga pernah mengalami keadaan tidak sedarkan diri selepas mengalami serangan sawan. Bagaimanapun, hasil bedah siasat mendapati punca sebenar kematian adalah tidak dapat ditentukan (undetermined),” katanya. Kes diklasifikasikan sebagai Laporan Kematian Mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih dijalankan. – KOSMO! ONLINE

The post Pengawal keselamatan ditemukan maut dalam longkang appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved