GUA MUSANG – Seorang lelaki warga emas melecur selepas dipercayai disimbah cuka getah oleh isterinya ketika sedang tidur di rumah mereka di Kampung Bertam Baru di sini pada Rabu.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 2.14 pagi apabila wanita berusia 33 tahun itu bertindak sedemikian terhadap suaminya yang berusia 63 tahun.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, mangsa kemudiannya mendapatkan bantuan daripada seorang kenalan sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Bertam untuk menerima rawatan awal.
Menurutnya, warga emas berkenaan kemudian dirujuk ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu untuk mendapatkan rawatan lanjut akibat kecederaan melecur.
"Suspek turut melecur pada bahagian perut dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Gua Musang.
"Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai mempunyai kaitan dengan perselisihan rumah tangga, namun motif sebenar masih dalam siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Choon Foo berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.
Katanya, polis sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk merakam percakapan saksi serta menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian bagi melengkapkan siasatan.
"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kejadian ini sehingga boleh mengganggu siasatan polis," katanya.






