KUALA LUMPUR - Seorang lelaki dipercayai mengalami serangan sawan ketika memandu sebuah BMW 320i sebelum terbabas dan melanggar enam kenderaan yang diparkir di bahu kiri Jalan Midah 1, Cheras, pagi Rabu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, dalam kejadian pada 8.30 pagi itu, lelaki berusia 28 tahun berkenaan sedang dalam perjalanan dari rumahnya menuju ke tempat kerja di Taman Midah 1.
"Pemandu dipercayai mengalami serangan sawan secara tiba-tiba, menyebabkan beliau hilang kawalan terhadap kenderaan dipandu, sebelum terbabas dan melanggar enam kenderaan yang sedang diparkir di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, keenam-enam kenderaan yang dilanggar tiada pemandu atau penumpang ketika kejadian dan masing-masing milik empat wanita berusia 29 hingga 43 tahun, seorang lelaki berumur 39 tahun serta sebuah kenderaan milik syarikat.
"Tiada kecederaan dilaporkan dan kemalangan hanya mengakibatkan kerosakan pada kenderaan yang terlibat, sementara pemeriksaan awal mendapati pemandu BMW berkenaan mempunyai sejarah penyakit sawan selama kira-kira 10 tahun,” katanya.
Mohd Zamzuri berkata, ujian hembusan nafas yang dijalankan terhadap pemandu itu turut mendapati keputusan negatif dengan bacaan 0 miligram/100 mililiter.
"Kes diklasifikasikan di bawah Rule 10 LN 166/59 dan siasatan lanjut masih dijalankan. Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee menerusi talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. - Bernama






