
SERIAN - Seorang lelaki berusia 46 tahun ditemui tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di dalam tandas sebuah sekolah di Batu 32, Jalan Baki Lama, di sini, semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.30 petang.
Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Serian diketuai Rosnani Malong dikerahkan ke lokasi dan tiba pada jam 4.43 petang.
“Setibanya di lokasi, anggota mendapati seorang lelaki dewasa tidak sedarkan diri di dalam tandas sekolah berkenaan.
“Anggota terpaksa membuka pintu tandas secara paksa menggunakan peralatan khas bagi membolehkan mereka memasuki ruang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Punca kematian masih belum diketahui. - Getaran, 29 Oktober 2026





