
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 27 tahun didakwa di Mahkamah Majistret pada Isnin atas pertuduhan mengedar 585 gram 3,4-Methylenedioxymethamphetamine (MDMA).
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada Mohd Azlan Shah Jumat selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Marilyn Kelvin.
Azlan didakwa melakukan kesalahan itu pada 8 September tahun ini kira-kira jam 12.05 tengah hari di hadapan premis HKT Furniture, Jalan Nountun, Inanam.
Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (DDA) 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup serta sebatan minimum 15 kali jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Akash Singh memohon tarikh sebutan lain sementara menunggu laporan ahli kimia.
Pihak pendakwaan turut tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh kerana pertuduhan berkenaan tidak memperuntukkan jaminan.
Mahkamah menetapkan 10 November untuk sebutan semula sementara menunggu laporan ahli kimia.
Azlan diperintahkan supaya terus direman.
Dalam kes lain seorang lelaki berusia 25 tahun didakwa menyerang isterinya.
Md Fikrie Hazim mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan kesalahan terhadap isterinya, 24 tahun pada 3 Jun tahun ini, kira-kira jam 5.30 petang di sebuah apartmen di Putatan.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.
Mahkamah menetapkan 28 September untuk sebutan semula sementara menunggu arahan daripada pejabat Timbalan Pendakwa Raya selepas pengadu memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia mahu menarik balik kes berkenaan.
Sementara menunggu tarikh tersebut, tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM1,200 dengan dua orang penjamin.
Inspektor Dzulfamie Amrin mengendalikan pendakwaan.






