
KULIM – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya minggu lalu.
Tertuduh, G. Vikneswaran, 43, yang tidak diwakili peguam mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nur Hamizah Mat Shah. Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh S. Sila, 39, di sebuah rumah di Taman Tiram, di sini antara pukul 6.30 petang dan 9.04 malam, 14 September lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, S. Preeyaa mengemukakan pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh dan sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Disember ini.
Kosmo! pada 15 September lalu melaporkan pertengkaran sepasang suami isteri dipercayai kerana cemburu berakhir dengan tragedi apabila seorang wanita maut selepas ditikam suaminya sebanyak 13 kali menggunakan pisau lipat di rumah mereka di Taman Tiram.
Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 39 tahun mengalami kecederaan tujuh tikaman di bahagian dada, lima di perut dan satu di rusuk kanan.
Selepas kejadian berdarah itu, suspek yang berusia 43 tahun hadir ke Balai Polis Lunas memaklumkan dia menikam isterinya. – KOSMO! ONLINE
The post Penganggur dituduh bunuh isteri appeared first on Kosmo Online.






