Pemandu e-hailing nafi khayal syabu, sebabkan pelajar IPTS maut

8 Oct 2026 • 2:14 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pemandu e-hailing nafi khayal syabu, sebabkan pelajar IPTS maut

SHAH ALAM – Seorang pemandu e-hailing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tiga pertuduhan termasuk menyebabkan kematian pelajar Institut pengajian tinggi swasta (IPTS) warga Maldives, Ahad lalu.

Tertuduh, Muhamad Syafiq Ibrahim, 37, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Perodua Ativa di bawah pengaruh dadah jenis Methamphetamine sehingga menyebabkan kematian penumpangnya, Aamina Imeely Nazim, 22.

Pertuduhan dikemukan mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (pindaan 2020) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda antara RM50,000 hingga RM100,000, sekiranya disabitkan kesalahan.

Tertuduh turut didakwa menyebabkan kecederaan terhadap seorang lagi penumpang, Aishath Sara Nizam, 22, dalam kemalangan sama akibat pengaruh dadah.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda antara RM30,000 hingga RM50,000 mengikut Seksyen 44(1A)(a) APJ 1987.

Bapa kepada dua anak itu juga didakwa memandu Perodua Ativa berkenaan tanpa kecermatan dan perhatian sepatutnya sehingga menyebabkan kemalangan dengan sebuah kereta lain serta kecederaan terhadap Aishath.

Dia didakwa mengikut Seksyen 43(1) APJ 1987 yang membawa hukuman penjara sehingga 12 bulan dan denda antara RM5,000 hingga RM10,000 jika sabit kesalahan.

Kesemua perbuatan didakwa dilakukan di Lebuh Raya Damansara Puchong, Tol PJS kira-kira pukul 8.40 malam pada Ahad lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Alia Anisa Khairus Masnan mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Peguam Rohan Singh dalam mitigasinya memaklumkan anak guamnya hanya berpendapatan RM2,000 sebulan sebagai pemandu e-hailing dan menanggung dua anak berusia tiga dan empat tahun serta isteri yang merupakan suri rumah.

“Dia mempunyai alamat tetap dan memberikan kerjasama serta tidak cuba melarikan diri. Mohon jaminan paling minima,” katanya.

Mahkamah membenarkan jaminan RM9,000 bersama seorang penjamin dan lesen memandu digantung sehingga kes selesai. Sebutan semula pada 8 Disember depan.

Media sebelum ini melaporkan pemandu e-hailing direman bagi membantu siasatan selepas disyaki memandu dalam pengaruh syabu sehingga mengakibatkan pelajar wanita warga Maldives yang juga penumpang kenderaannya maut dalam kemalangan berhampiran Plaza Tol Petaling Jaya, di Subang Jaya dekat sini.

Siasatan mendapati lelaki tersebut yang memandu SUV jenis Perodua Ativa melanggar belakang Proton S70 yang sedang bergerak ke lorong RFID.

Akibat pelanggaran itu, Perodua Ativa itu berpusing sebelum terbalik di tengah jalan. Seorang penumpangnya maut manakala seorang lagi cedera. – KOSMO! ONLINE

 

The post Pemandu e-hailing nafi khayal syabu, sebabkan pelajar IPTS maut appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved