Lelaki jalankan aktiviti seludup, jual rokok tak bercukai ditahan di Bidor

30 Sep 2026 • 9:35 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Lelaki jalankan aktiviti seludup, jual rokok tak bercukai ditahan di Bidor

TAPAH – Aktiviti penyeludupan serta penjualan rokok disyaki tak bercukai oleh seorang lelaki tempatan berjaya dipatahkan polis apabila dia ditahan dalam satu operasi di kawasan Bidor di sini kelmarin.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, turut dirampas bersama suspek berusia 52 tahun itu adalah pelbagai jenis rokok disyaki tak bercukai berkenaan.

Beliau berkata, tangkapan dibuat oleh sepasukan anggota cawangan risikan Task Force Batalion 3 Bidor kira-kira pukul 8.15 malam.

Beliau berkata, pasukan tersebut telah mengesan sebuah kereta Proton Iswara berwarna putih dalam keadaan mencurigakan di Jalan Sungkai, Taman Aman, Bidor.

“Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan tersebut telah menemukan pelbagai jenis rokok disyaki rokok seludup yang keseluruhannya berjumlah 102 karton, terdiri daripada rokok jenama Canyon Signature, Suria Gudang Garam 12 dan Nusantara Gudang Garam.

“Turut dirampas sebuah kereta Proton Iswara dan satu unit kunci kereta. Nilai keseluruhan rampasan masih dalam proses penilaian,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Alwi berkata, siasatan awal mendapati suspek mengaku memiliki serta menjual rokok seludup dan dipercayai telah menjalankan kegiatan tersebut sejak kira-kira tiga tahun lalu.

Katanya, suspek juga mendakwa mendapatkan bekalan daripada seorang lelaki tempatan setiap minggu sebelum mengedarkan kepada peniaga-peniaga kecil di kawasan sekitar.

“Suspek telah ditahan reman selama empat hari bermula 29 September hingga 2 Oktober 2026 bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Sampel barang kes akan dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan analisis. Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti sumber bekalan serta rangkaian pengedaran rokok disyaki seludup tersebut,” katanya.

Mohd. Alwi berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perak akan terus mempergiatkan tindakan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan dan pengedaran barangan tidak bercukai di negeri ini.

“Polis Perak turut menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dalam aktiviti penjualan atau pengedaran rokok yang tidak bercukai dan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Lelaki jalankan aktiviti seludup, jual rokok tak bercukai ditahan di Bidor appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved