Lelaki Kelar Isteri & Anak Didakwa, Mahkamah Arah Hospital Permai Siasat Mental Tertuduh

18 Jul 2022 • 3:33 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Kes lelaki kelar isteri dan anaknya yang baru berusia dua bulan sebelum lari meninggalkan tempat kejadian menaiki motosikal dalam keadaan bogel pada 4 Julai lalu telah mengejutkan ramai orang.

Tertuduh, Mohamad Amir Nazri Mohd Adam yang juga seorang pencuci kapal ini sebentar tadi telah pun didakwa di Mahkamah Majistret.

Memetik laporan dari FMT, Majistret Mohd Zulhilmi telah membacakan dua pertuduhan ke atasnya di mana bagi pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa membunuh Hajar Nursyahirin Rosman, 26, seorang suri rumah pada 11.30 pagi, manakala pertuduhan kedua tertuduh didakwa membunuh anak lelakinya Hans Mohamad Thaqeef berusia dua bulan, pukul 11.40 pagi.

image is not available

Bagaimanapun, tiada pengakuan yang direkodkan daripada tertuduh ekoran kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh dilihat terpinga-pinga dan dalam keadaan sugul dan hanya menjawab faham apabila kedua-dua tuduhan dibacakan ke atasnya.

Menurut Harian Metro, adik lelaki Amir yang turut hadir dalam galeri awam juga terpaksa ditenangkan oleh ahli keluarga selepas mendengar pertuduhan tersebut.

Mahkamah turut memerintahkan Mohamad Amir untuk dihantar ke Hospital Permai bagi menjalani pemeriksaan mental.

Selain itu, mahkamah telah menetapkan tarikh sebutan semua kes pada 18 Ogos nanti selepas mendapat laporan bedah siasat dan kimia serta keputusan ujian psikiatri tertuduh.

Untuk pengetahuan korang, kes ini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

 

image is not available

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.