Lelaki keluar cari ketam nipah ditemukan lemas

5 Jul 2026 • 3:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lelaki keluar cari ketam nipah ditemukan lemas
Mangsa dilaporkan keluar rumah pada 10 pagi semalam untuk mengangkat perangkap ketam nipah di paya itu. Foto Facebook Jabatan Amal DUN Paka

DUNGUN - Seorang lelaki ditemukan lemas pada Ahad, selepas dikatakan keluar untuk menangkap ketam nipah di kawasan paya di Kampung Tebing Tembah, Paka di sini semalam.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paka, Pegawai Bomba Kanan II Irwan Rashid berkata, operasi mencari dan menyelamat Mohd Afiq Ahmad, 36, digerakkan selepas pihaknya menerima laporan pada 7.21 pagi tadi. 

"Mangsa dilaporkan keluar rumah pada 10 pagi semalam untuk mengangkat perangkap ketam nipah di paya itu. 

"Bomba melakukan pencarian di kawasan paya berdasarkan maklumat diterima sebelum mangsa ditemukan pada 10 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, mayat diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Dungun untuk bedah siasat.

Sementara itu, abang ipar mangsa, Mohd Hafis A Talib, 47, berkata, Mohd Afiq yang tinggal di Kampung Mengabang Lekor, Batu Rakit, Kuala Nerus, datang ke rumahnya di Kampung Tebing Tembah pada tiga minggu lepas bersama-sama ibunya.

"Mangsa keluar untuk menangkap ketam nipah di paya yang terletak kira-kira 1.5 kilometer dari rumah saya bagi mengisi masa lapang,” katanya semasa ditemui di Unit Forensik Hospital Dungun.

Mohd Hafis membuat laporan polis pada 11 malam tadi selepas adik iparnya tidak pulang ke rumah kerana bimbang dengan keselamatan Mohd Afiq yang mempunyai penyakit sawan. - Bernama

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved