Lelaki Kongsi Momen Lucu, Dedah Gaji 'Lesap' Setiap Bulan

Personal FinanceFamily & Parenting
10 Aug 2026 • 12:44 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Lelaki Kongsi Momen Lucu, Dedah Gaji 'Lesap' Setiap Bulan

Lelaki Kongsi Momen Lucu, Dedah Gaji 'Lesap' Setiap Bulan

Bagi seorang lelaki yang sudah bergelar suami dan ayah, gaji bukan lagi sekadar duit yang masuk ke dalam akaun setiap bulan.

Sebaik sahaja gaji diterima, sudah ada pelbagai perkara yang menanti untuk diselesaikan.

Keperluan isteri, anak-anak, rumah, bil dan macam-macam lagi semuanya perlu didahulukan sebelum memikirkan apa yang tinggal untuk diri sendiri.

Kadang-kadang baru beberapa hari gaji masuk, baki akaun sudah mula susut.

Ada yang digunakan untuk barang dapur, ada yang dibelanjakan untuk keperluan anak-anak, malah ada juga yang ‘hilang’ hanya kerana memenuhi permintaan kecil daripada insan tersayang.

Namun, seorang suami dan ayah jarang menganggap semua itu sebagai beban kerana setiap perbelanjaan datang bersama satu tujuan, memastikan keluarganya hidup dengan baik.

Mungkin dari sudut angka, gaji itu nampak seperti cepat benar ‘lesap’.

Tetapi bagi seorang lelaki yang bekerja keras demi keluarganya, tiada satu pun yang benar-benar hilang.

Setiap ringgit bertukar menjadi makanan, pakaian, pendidikan, tempat tinggal, senyuman dan kenangan bersama orang yang paling disayangi. Itulah pengorbanan yang mungkin tidak selalu diceritakan, tetapi sentiasa dirasakan.

Gaji 'lesap' setiap bulan

Baru-baru ini, perkongsian seorang pengguna Facebook, @Karnoh Halil, mencuri perhatian ramai selepas berseloroh seolah-olah membuka satu ‘fail kes’ berkaitan jenayah terancang yang berlaku setiap bulan sebaik sahaja gaji diterima.

Menerusi perkongsian tersebut, dia mendakwa sudah mengenal pasti beberapa ‘suspek’ yang dipercayai menjadi dalang kepada ‘kehilangan’ hampir keseluruhan gajinya setiap bulan.

Namun, apa yang lebih menarik, kes itu bukan melibatkan pencuri atau sindiket jenayah sebenar, sebaliknya ‘pelakunya’ terdiri daripada insan yang paling dekat dengannya iaitu isteri dan anak-anak.

Dengan gaya penulisan seakan-akan laporan siasatan, perkongsian itu bukan sahaja mengundang gelak tawa, malah secara tidak langsung menggambarkan realiti kehidupan seorang suami dan ayah yang sanggup berkorban demi memastikan keluarga tercinta hidup dalam keadaan selesa.

Baca juga:

Sindiket jenayah tersangat terancang

Fail Kes #001 : Gaji 'LESAP' Setiap Bulan Tanpa Gagal

Selepas siasatan rapi dijalankan, pihak berkuasa telah mengenal pasti 4 orang pelaku utama yang dipercayai terlibat dalam "LESAPNYA" hampir keseluruhan gaji saya setiap bulan.

Pelaku 1

Suspek UTAMA (Master-Mind) . Bertanggungjawab mengurus kewangan rumah, dapur, bil utiliti, keperluan harian dan pelbagai "operasi" yang menyebabkan dompet saya sentiasa ringan.

Pelaku 2

Pakar meminta mainan, baju baru, susu, jajan dan pelbagai keperluan sekolah. Modus operandi: "Ayah... Aku mahu..."

Pelaku 3

Menggunakan senjata paling berbahaya iaitu senyuman manis dengan pandangan mata yang bulat. Setiap permintaan hampir mustahil untuk ditolak jika ada duit di dompet. Jika tiada tetap diusahakan.

Pelaku 4

Walaupun masih baru dalam geng ini, tapi keperluannya sudah cukup untuk memastikan baki akaun sentiasa berada dalam zon berjaga-jaga dan kritikal.

Mangsa: Saya.

Namun selepas siasatan selesai, tiada seorang pun daripada mereka ditahan.

Kerana ini bukan jenayah biasa biasa, Ini adalah "jenayah yang sah" jenayah yang luar biasa.

Sebagai seorang suami dan ayah, inilah tanggungjawab yang dipikul dengan penuh kasih sayang. Penat bekerja, berkorban masa dan tenaga demi memastikan orang yang kita sayang hidup dengan selesa.

Hakikatnya... Setiap ringgit yang "LESAP" bukanlah satu kerugian.

Ia bertukar menjadi makanan di atas meja, pakaian di badan, pendidikan, senyuman, pelukan dan kenangan yang tidak ternilai.

Selagi mereka masih memanggilku "Yang" dan "Ayah", selagi itulah aku akan terus menjadi "mangsa" yang paling bahagia.

Image from: Lelaki Kongsi Momen Lucu, Dedah Gaji 'Lesap' Setiap Bulan
Kredit: Karnoh Halil via Facebook

Reaksi netizen

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen terhibur dengan perkongsian tersebut, malah ramai yang memuji dan bangga melihat pengorbanan seorang suami dan ayah yang sanggup mendahulukan keperluan keluarga berbanding kehendak diri sendiri.

“Comel sangat kes ni. Payah nak diselesaikan sebab kami yang perempuan pun memang terlibat sebagai ‘pelaku’,” seloroh seorang netizen.

“Sesungguhnya kamu mangsa yang paling beruntung kerana dapat membahagiakan ‘pelaku-pelaku’ ini,” komen seorang lagi.

“Semoga diluaskan rezeki si ayah yang bertanggungjawab menafkahi keluarga. Saya yakin rezeki tuan sentiasa dilancarkan kerana membahagiakan keluarga,” ujar seorang netizen.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved