
MELAKA – Seorang lelaki dihukum penjara 69 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas sembilan tuduhan termasuk mencuri wang masjid, surau dan madrasah sekitar daerah ini berjumlah lebih RM3,000.
Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mu’ammar Raid Abdul Malik, 37, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut empat pertuduhan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan (KK), lelaki itu didapati mencuri wang RM3,000 milik Madrasah Al Jariah Kampungku Sayang pada pukul 2.30 pagi, 25 November 2025.
Mu’ammar Raid turut didakwa mencuri duit tabung Surau Kampung Pengkalan Lanjut, Tanjung Kling pada pukul 4.45 pagi, 30 Mac lalu dan Surau Al Karim, Kampung Gedong Lalang pada 6.38 petang, 31 Mac lepas.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda atau bagi kesalahan kedua atau berikutnya hendaklah dipenjara dan dikenakan denda atau sebatan.
Tertuduh didakwa cuba mencuri duit tabung Masjid As-Syakirin, Pasir Puteh, Bachang pada pukul 11.10 malam, 16 Ogos 2021. Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 511KK>
Lelaki itu juga didakwa atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 447KK kerana menceroboh kawasan Masjid As Syakirin Pasir Puteh tanpa kebenaran dan memasuki Surau Al Mustaqim, Batu Berendam.
Bagi pertuduhan ketujuh, tertuduh memecah masuk Surau An-Naim, Klebang Besar untuk mencuri pada pukul 4.30 pagi, 28 November 2025. Dia didakwa mengikut Seksyen 457KK.
Mu’ammar Raid juga didakwa atas dua tuduhan di bawah Peraturan 25(1)(n) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana tidak mengemukakan kad pengenalan apabila diminta pihak polis.-KOSMO! ONLINE
The post Lelaki dipenjara 69 bulan mengaku curi duit masjid, surau di Melaka appeared first on Kosmo Digital.






