
KOTA TINGGI – Angkara mabuk, seorang lelaki tergamak bertindak menetak isterinya menggunakan sebilah parang dalam kejadian di Taman Desa Sejahtera di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu menyaksikan mangsa berusia 70 tahun ditetak ditangan kanan dan mengalami luka kecil.
“Pusat Kawalan Daerah (DCC) IPD Kota Tinggi telah menerima maklumat daripada orang awam berhubung seorang wanita warganegara tempatan dalam keadaan berdarah telah ditetak menggunakan sebilah parang oleh suaminya. Susulan maklumat tersebut, sepasukan pegawai dan anggota polis dari IPD Kota Tinggi telah ke lokasi kejadian dan telah berjaya menangkap seorang lelaki tempatan berusia 70 tahun yang merupakan suami mangsa.
“Siasatan mendapati kejadian berlaku akibat perselisihan faham susulan mangsa memasang televisyen dengan kuat. Saspek yang berada dalam keadaan mabuk telah bertindak menetak mangsa menggunakan sebilah parang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yusof berkata mangsa kemudiannya mendapatkan rawatan di Hospital Kota Tinggi dan satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki mabuk tetak isteri buka televisyen kuat appeared first on Kosmo Digital.






