Lelaki Malaysia Ditahan Di Medan, Disyaki Seludup Vape Berisi Dadah

26 Aug 2026 • 4:06 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Lelaki Malaysia Ditahan Di Medan, Disyaki Seludup Vape Berisi Dadah

MEDAN - Seorang pemuda Malaysia berusia 22 tahun ditahan pihak berkuasa Indonesia di Medan, Sumatera Utara, selepas disyaki membawa masuk peranti vape yang mengandungi dadah untuk diedarkan di negara itu.

Penahanan suspek turut membawa kepada usaha pihak berkuasa Indonesia mendapatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengenal pasti pihak yang dipercayai membekalkan dadah berkenaan serta dalang di sebalik kegiatan tersebut.

Suspek ditahan minggu lalu bersama teman wanitanya, seorang wanita warga Indonesia berusia 35 tahun yang dipercayai membantu aktiviti pengedaran berkenaan.

Menurut laporan Antara News, polis Medan merampas keseluruhan 29 peranti vape yang dipercayai mengandungi bahan terlarang dalam operasi tersebut.

Ketua Siasatan Narkotik Polrestabes Medan, Penolong Pesuruhjaya Rafli Yusuf Nugraha berkata, pasangan itu ditahan ketika berada di dalam sebuah kereta di kawasan parkir berhampiran deretan kedai di Jalan Cemara, Percut Sei Tuan, Deli Serdang.

“Ketika ditahan, kedua-duanya berada di dalam kereta. Kami menemui 24 peranti vape yang mengandungi dadah dan disimpan di dalam sebuah beg galas,” katanya pada sidang media di Medan, Selasa.

Menurut Rafli, penahanan itu dilakukan selepas Unit Siasatan Narkotik Polrestabes Medan menerima maklumat risikan berhubung seorang lelaki dan wanita yang dipercayai terbabit dalam kegiatan mengedar vape berisi dadah.

Polis kemudian mengekori pasangan berkenaan sebelum menahan mereka di lokasi tersebut.

Pemeriksaan lanjut di rumah sewa pasangan itu di Jalan PWS, Medan Petisah, membawa kepada penemuan lima lagi peranti vape mengandungi dadah.

Polis turut menemui wang tunai RM15,000 yang disimpan di dalam peti keselamatan, disyaki hasil daripada aktiviti penjualan dadah.

Rafli berkata, siasatan mendapati kedua-dua suspek merupakan pasangan yang berkenalan menerusi media sosial sebelum bertemu di Malaysia.

Mereka kemudian disyaki bersetuju untuk menjalankan kegiatan pengedaran dadah di Medan.

“Siasatan mendapati pemuda terbabit sebelum ini membawa masuk 20 peranti vape yang mengandungi dadah dari Malaysia pada Julai. Kesemuanya dipercayai telah dijual dengan bantuan teman wanitanya.

“Kebanyakan pembeli dipercayai merupakan rakan wanita berkenaan di Medan,” katanya.

Polis turut percaya suspek menyembunyikan peranti vape berkenaan di celah pakaian yang dilipat sebelum memasukkannya ke dalam bagasi ketika memasuki Indonesia.

Menurut Rafli, kaedah sama dipercayai digunakan suspek dalam penghantaran berikutnya apabila dia sekali lagi membawa masuk 40 peranti vape mengandungi dadah dari Malaysia.

Daripada jumlah itu, penyiasat mengesyaki 29 peranti yang dirampas merupakan baki stok daripada penghantaran kedua berkenaan.

Ujian air kencing yang dijalankan terhadap kedua-dua suspek juga didapati positif dadah, menurut pihak polis.

Susulan penahanan itu, pihak berkuasa Indonesia kini memperluaskan siasatan bagi mengesan pihak yang dipercayai menjadi pembekal serta mengenal pasti rangkaian pengedaran lebih besar yang beroperasi di Medan.

Rafli berkata, polis Indonesia akan bekerjasama dengan PDRM bagi mengesan individu yang disyaki membekalkan dadah tersebut atau bertindak sebagai dalang operasi berkenaan di Malaysia.

“Kes ini masih dalam siasatan dan kami akan berkoordinasi dengan polis Malaysia untuk menangkap dalang di sebalik kegiatan kedua-dua suspek,” katanya. - Getaran, 26 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved