Geng Manap aktif curi motosikal dan pecah rumah tumpas

25 Aug 2026 • 10:50 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Geng Manap aktif curi motosikal dan pecah rumah tumpas

IPOH: Kumpulan dikenali sebagai Geng Manap yang dipercayai aktif dalam kegiatan mencuri motosikal dan pecah rumah di sekitar daerah ini berjaya ditumpaskan susulan penahanan enam lelaki.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, enam suspek berusia antara 27 hingga 66 tahun itu ditahan menerusi Op Lejang yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dari 11 hingga 18 Ogos lalu.

Katanya, dalam operasi itu, polis turut merampas 20 rangka motosikal dan lapan guni yang mengandungi pelbagai komponen motosikal.

“Hasil siasatan, kumpulan ini berjaya dikaitkan dengan 14 kes kecurian motosikal dan satu kes pecah rumah, menjadikan keseluruhan 15 kes berjaya diselesaikan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kesemua 15 kes berkenaan telah dibawa ke mahkamah untuk pertuduhan pada 24 Ogos.

Katanya, beberapa daripada suspek yang ditahan dijatuhi hukuman penjara antara 10 hingga 15 bulan manakala sebahagian lagi dibenarkan jamin antara RM3,000 hingga RM5,000 sementara menunggu sebutan lanjut.

“Kes-kes tersebut melibatkan pertuduhan mengikut Seksyen 411, 414, 457 dan 379A Kanun Keseksaan serta Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955,” katanya.

Muhammad Najib berkata, kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan PDRM dalam membanteras kegiatan kecurian motosikal selain menyelesaikan kes berdasarkan maklumat awam dan risikan yang dijalankan secara berperingkat.

Beliau turut menasihatkan masyarakat supaya sentiasa berwaspada dengan memastikan kenderaan dan kediaman dikunci dengan baik.

“Orang ramai juga diminta segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengetahui sebarang aktiviti mencurigakan,” katanya. – UTUSAN

The post Geng Manap aktif curi motosikal dan pecah rumah tumpas appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved