Lelaki mati jatuh longkang, ditemui berlumuran darah

17 Feb 2025 • 12:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mayat lelaki ditemui di dalam longkang sedalam kira-kira tiga meter di Kawasan Perindustrian Silibin, Ipoh pada pagi Isnin. Gambar hiasan

IPOH - Seorang lelaki ditemukan maut selepas terjatuh ke dalam longkang di Kawasan Perindustrian Silibin di sini, pagi Isnin.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis berkenaan insiden itu pada 8.38 pagi.

Beliau berkata, setibanya anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh di tempat kejadian sembilan minit kemudiannya, didapati mayat lelaki berada dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah pada bahagian kepala di dalam longkang sedalam kira-kira tiga meter.

"Identiti tidak diperolehi dan pegawai perubatan KKM (Kementerian Kesihatan) mengesahkan lelaki itu telah meninggal dunia di tempat kejadian. Mayatnya telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sabarodzi berkata, operasi tamat pada 9.40 pagi. - Bernama