Lelaki maut dipercayai diserang harimau di Sungai Siput

LocalEnvironment
22 Sep 2026 • 10:28 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Lokasi lelaki ditemukan maut dipercayai diserang harimau di Sungai Siput

Seorang penduduk Orang Asli ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai diserang harimau belang ketika mencari rotan di kawasan hutan berhampiran Kampung Takung, Pos Perwor, Sungai Siput.

Mangsa, Zamberi Angah, dikatakan memasuki kawasan hutan bersama seorang rakannya sebelum kejadian berlaku di dalam kawasan Hutan Simpan Korbu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menerima aduan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 4.30 petang pada 21 September lalu.

Menurutnya, pasukan PERHILITAN bergegas ke lokasi dan menemui anak mangsa sebelum operasi pencarian bersama dimulakan pada pukul 6.30 petang.

Operasi tersebut melibatkan PERHILITAN, anggota Balai Polis Lintang, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), kira-kira 30 penduduk kampung serta pekerja balak.

“Mangsa ditemukan pada pukul 6.58 petang di kawasan rumpun buluh berhampiran jalan balak, kira-kira 200 meter dari lokasi dipercayai berlakunya serangan.

“Kesan tapak harimau belang dan beberapa petunjuk lain turut ditemukan di sekitar lokasi,” katanya menerusi satu kenyataan.

Baca juga:

Mohd Zolkafly yang juga Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak berkata, beliau bersama isteri telah menziarahi keluarga mangsa bagi menyampaikan ucapan takziah serta menghulurkan sumbangan.

Katanya, PERHILITAN akan membantu waris memohon Bantuan Mangsa Serangan Hidupan Liar selain memberikan khidmat nasihat keselamatan kepada penduduk.

Perangkap harimau belang juga akan dipasang dalam masa terdekat, manakala pemantauan dan kawalan di kawasan berkenaan diharap dapat dilaksanakan segera bagi menjamin keselamatan penduduk.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak memasuki kawasan terbabit buat sementara waktu, sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa.

The post Lelaki maut dipercayai diserang harimau di Sungai Siput appeared first on The Reporter.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved