
PENAMPANG: Seorang lelaki berusia 41 tahun maut selepas motosikal ditungganginya dipercayai terbabas ke dalam longkang berbatu di Jalan Sapulut-Tambunan berhampiran Kampung Notorus di sini, Isnin.
Ketua Polis Daerah Penampang, Supt Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum motosikalnya terbabas keluar dari jalan raya lalu terjunam ke dalam longkang berkenaan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sammy berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Insp Saparia Ladoni menerusi talian 019-8095133 bagi membantu siasatan.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mengawal kelajuan dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kemalangan.






