
KANGAR: Seorang buruh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang remaja bawah umur di sebuah hotel, bulan lalu.
Tertuduh, Syafiq Dzulkafli, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa telah melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual ke atas seorang remaja bawah umur berusia 17 tahun.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah hotel sekitar Jalan Jubli Perak, di sini, pada 19 Julai lalu sekitar pukul 4 pagi.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh dihukum dengan hukuman sebatan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Mohd Alif Farhan Hassan manakala tertuduh diwakili peguam, Mohamad Alif Farhan Mohamad Supian.
Semasa prosiding, pihak pendakwaan memohon agar mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 ke atas tertuduh.
Peguam tertuduh bagaimanapun memohon agar mahkamah dapat menetapkan jumlah jaminan yang setimpal berikutan tertuduh perlu menyara emak dan adiknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU).
Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh dijamin sebanyak RM9,000 dan perlu melaporkan diri di balai berhampiran selain tidak boleh mendekati mangsa serta saksi sehingga kes tersebut selesai.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 7 September depan dan tertuduh turut membayar jaminan dikenakan itu.-UTUSAN
The post Buruh mengaku tak bersalah lakukan amang seksual ke atas remaja bawah umur appeared first on Utusan Malaysia.






