
GUA MUSANG – Hanya kerana pertikaian berhubung permit memasuki kawasan hutan simpan, seorang penyelia ladang parah selepas diserang sekumpulan lelaki menggunakan parang, batang besi dan kayu dalam kejadian di sebuah rumah kongsi di Kampung Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Chalil, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.15 petang itu, mangsa yang berusia 35 tahun patah tulang lengan kiri, retak tulang kering kaki kiri, kecederaan pada tendon kaki kiri, lebam dan bengkak pada mata kiri serta pendarahan pada hidung.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, sekumpulan lelaki dipercayai wakil sebuah syarikat yang mempunyai kepentingan di kawasan berkenaan hadir ke rumah kongsi terbabit bagi mendapatkan penjelasan berhubung permit memasuki kawasan hutan simpan.
Katanya, pertikaian itu tercetus selepas seorang lelaki didakwa dipukul oleh dua individu daripada kumpulan berkenaan.
“Mangsa yang cuba meleraikan kejadian itu kemudian diserang secara beramai-ramai menggunakan senjata seperti parang, batang besi dan kayu.
“Serangan itu menyebabkan penyelia ladang itu mengalami patah tulang lengan kiri, retak tulang kering kaki kiri, kecederaan pada tendon kaki kiri selain lebam dan bengkak pada mata kiri serta pendarahan pada hidung,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rusuhan dengan senjata tajam. – KOSMO! ONLINE
The post Penyelia ladang parah diserang sekumpulan lelaki bersenjata appeared first on Kosmo Digital.






