Lelaki mengaku bersalah atas lima pertuduhan hina, ugut kerabat diraja Terengganu

24 Jun 2026 • 3:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lelaki mengaku bersalah atas lima pertuduhan hina, ugut kerabat diraja Terengganu
Tertuduh berusia 35 tahun turut diperintahkan menjalani pemerhatian bagi penilaian psikiatrik di hospital kerajaan. - Gambar hiasan

SEPANG - Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan membuat hantaran bersifat menghina dan mengancam beberapa kerabat diraja Terengganu menerusi aplikasi X.

Azman Hakim Hassanuddin, 35, turut diperintahkan menjalani pemerhatian bagi penilaian psikiatrik di hospital kerajaan.

Perintah berkenaan dikeluarkan oleh Hakim Ahmad Fuad Othman, dan turut menetapkan 28 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Lelaki berkenaan yang tidak diwakili peguam didakwa atas lima pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dia didakwa membuat serta memulakan penghantaran komunikasi yang jelik melampau sifatnya dan mengancam menerusi akaun X pada 19 Februari lepas.

Berdasarkan empat pertuduhan, tertuduh didakwa membuat hantaran komunikasi yang jelik melampau sifatnya pada 2.25 petang, 4.19 petang, 4.20 petang dan 4.29 petang dengan niat untuk menyakitkan hati mana-mana orang.

Bagi satu lagi pertuduhan, dia didakwa membuat hantaran komunikasi yang mengancam sifatnya pada 3.46 petang dengan niat untuk mengugut mana-mana orang.

Kesemua hantaran itu dilihat oleh pegawai penyiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 20 Februari kira-kira 6.30 petang di Aras 8, Menara MCMC 1, Jalan Impact, Cyber 6, Cyberjaya, Sepang, Selangor.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, dan denda RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab. - - Bernama

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved