Bekas petugas stesen televisyen swasta mengaku tidak bersalah buat hantaran komen palsu

LocalPolitics
24 Jun 2026 • 4:39 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bekas petugas stesen televisyen swasta mengaku tidak bersalah buat hantaran komen palsu
Mohd Khaidir Ahmad

SEPANG - Bekas petugas sebuah stesen televisyen swasta Mohd Khaidir Ahmad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komen palsu berhubung bekalan diesel negara menerusi akaun Facebook, April lepas.

Mohd Khaidir, 64, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Dia didakwa membuat dan memulakan penghantaran komen palsu menerusi akaun Facebook Khaidir Ahmad pada 8.55 pagi 12 April yang dilihat oleh pengawai penyiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada kira-kira 7 malam hari berikutnya di Menara MCMC 1, Cyberjaya, Selangor.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta yang sama.

Mohd Khaidir yang tidak diwakili peguam memohon agar jaminan dikurangkan atas alasan dirinya tidak bekerja dan menanggung empat anak yang masih belajar serta isteri yang lumpuh.

Mahkamah membenarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Ogos untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Sulaiman.

Dalam kes berasingan, mahkamah turut menjatuhkan hukuman denda terhadap dua individu atas kesalahan sama yang melibatkan hantaran palsu harga minyak dan kenaikan tarif elektrik.

Chong Kwai Fee, 55, dan Romy Irwan Shah Amri Irawan, 64, masing-masing didenda RM4,000 selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu. - Bernama

 

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved