
Suasana dalam prosiding mahkamah menjadi pilu apabila seorang lelaki menangis teresak-esak di kandang pesalah atas tuduhan mencederakan isterinya kerana lewat menyediakan susu bayi.
Dalam perbicaraan di Mahkamah Majistret 3, Ayer Keroh, Melaka hari ini, Majistret Nabilah Nizam bertanya kepada Shahmoonzhir Mohd Nazim, 32 mengenai punca sebenar dia memukul isterinya.
Artikel Berkaitan : Pernah Terima Rawatan Psikiatri Sebelum Kes Pukul Isteri, Hafidz Roshdi Perlu ‘Follow Up’ Di Hospital
Artikel Berkaitan : Bapa Tiri Arwah Adik Amir Rupanya Pernah Didakwa Pukul Isteri Tahun Lepas
“Saya ada satu soalan sahaja sebelum saya jatuhkan hukuman. Apa punca awak pukul isteri, adakah hanya kerana dia tidak mahu buat susu dan baling botol susu?”
Tertuduh menjelaskan yang dia memang marah kerana isteri enggan buat susu dan baling botol sedangkan dia kepenatan kerja sanggup nak tolong jaga bayi mereka.
“Jadi, saya marah dia (isteri), tapi bukan nak pukul dia. Saya nak baling kipas ke arah almari tapi kena pada dia dan saya mengaku bersalah.”
“Saya juga tiada ahli keluarga di sini kerana berasal dari Sabah dan isteri juga tidak hadir di mahkamah hari ini,” katanya sambil mengesat air mata di kandang pesalah.
Sebelum ini pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri selesai mengemukakan fakta kes dan hujah pemberatan hukuman, manakala Shahmoonzhir yang merupakan bapa kepada 5 orang anak diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, merayu untuk hukumannya diringankan.
Prosiding ditangguhkan sebentar selepas ia dipohon Fiqri Hakim namun sebaik sahaja mahkamah bersidang semula, peguam tertuduh memaklumkan bahawa pengadu ingin menarik balik laporan polis terhadap tertuduh.
Mahkamah kemudian menetapkan kes disebut semula pada 23 November ini dan tertuduh dibenarkan diikat jamin RM4,000.
Sumber : Harian Metro
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.


