Tokong diconteng kalimah ALLAH: Polis kesan ‘Ucuk’

LocalPolitics
9 Apr 2026 • 3:17 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Polis sedang mengesan seorang lelaki kurang siuman dikenali sebagai ‘Ucuk’ bagi membantu siasatan dalam kejadian menconteng kalimah suci pada dinding sebuah tokong di Persisiran Pantai Siring, Merlimau. Gambar kecil: Robert

MELAKA - Polis sedang mengesan seorang lelaki kurang siuman dikenali sebagai ‘Ucuk’ bagi membantu siasatan dalam kejadian menconteng kalimah suci pada dinding sebuah tokong di Persisiran Pantai Siring, Merlimau, di sini.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian itu kira-kira jam 11 malam pada 8 April 2026.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat tulisan kalimah ALLAH dan Bismillahirrahmanirrahim dalam tulisan Jawi menggunakan cat berwarna putih pada dinding tokong berkenaan.

“Siasatan awal mendapati kejadian itu disedari oleh seorang lelaki Melayu yang sedang memancing berhampiran lokasi sebelum menghubungi Pondok Polis Serkam untuk tindakan lanjut.

“Hasil temu bual dengan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sri Minyak serta penduduk sekitar mendapati mereka tidak mengetahui pemilik tokong tersebut mahupun status pemilikan tanah berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan binaan tokong batu tertera kalimah itu ditemui pemancing yang bertindak melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa pada malam Rabu sebelum Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman bergegas ke lokasi kejadian.

Rahmad memaklumkan, siasatan awal mendapati tokong berkenaan dipercayai telah wujud sejak dua hingga tiga tahun lalu dan tulisan Jawi itu hanya dikesan pada hari kejadian.

Mengulas lanjut, Robert berkata, semakan lanjut berhubung status pemilikan tanah akan dijalankan melalui Pejabat Daerah dan Tanah Jasin.

Katanya, maklumat awal daripada penduduk kampung memaklumkan mereka pernah melihat ‘Ucuk’, yang merupakan bekas pelajar tahfiz, menconteng tembok serta tiang elektrik dengan tulisan kalimah ‘ALLAH’.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Melaka serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merosakkan atau mencemarkan tempat ibadat dengan niat mengaibkan agama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya.

Jelasnya, kes turut disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana perbuatan sengaja melukakan perasaan agama seseorang, yang boleh dihukum penjara sehingga satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Selain itu, kes juga disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat sehingga menyebabkan kerosakan harta benda, yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam.

“Orang ramai juga diminta sentiasa menghormati sensitiviti agama serta tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama.

“Polis memandang serius sebarang perbuatan yang boleh menggugat ketenteraman awam dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Hafiz Othman di talian 017-317 8434 atau 06-529 2222 (sambungan 323).