
SHAH ALAM, 1 NOV: Seorang lelaki berusia 42 tahun meninggal dunia selepas dilaporkan pengsan ketika menyertai acara larian di Putrajaya, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata mangsa yang merupakan warga tempatan dikejarkan ke Jabatan Kecemasan Hospital Putrajaya dengan ambulans untuk mendapatkan rawatan.
"Pihak hospital telah melakukan usaha resusitasi terhadap mangsa, namun gagal menyelamatkannya dan mangsa disahkan meninggal dunia pada 6.54 pagi.
"Hasil semakan awal mendapati mangsa tidak mempunyai sebarang sejarah penyakit," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, bedah siasat dijalankan di Hospital Putrajaya bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.






