
KULAI: Seorang wanita bersama ibunya meninggal dunia selepas kereta jenis Mazda yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta Toyota Vios di Jalan Senai – Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa yang maut ialah pemandu Mazda, Dr. Fatimatuzahrah Md Amin, 30, serta ibunya, Rosmani yang berusia 69 tahun.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kejadian itu daripada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.
Beliau berkata, kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu kereta Mazda berkenaan dan sebuah Toyota Vios yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berumur 30 tahun.
“Ketika kejadian, mangsa dan ibunya dari arah LTAS menghala ke arah Pekan Senai untuk pulang ke rumah mereka di Tampoi.
“Ketika melalui lokasi kejadian, kereta Mazda yang dipandu mangsa dipercayai terbabas dan masuk laluan bertentangan. Punca sebenar masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan.
Seng Lee berkata, kemalangan tersebut menyebabkan pemandu dan penumpang kereta Mazda mengalami kecederaan parah, manakala pemandu Toyota Vios hanya mengalami kecederaan ringan.
Katanya, pemandu kereta Mazda disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai.
“Manakala ibu mangsa yang juga penumpang kereta berkenaan disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru,” katanya.
Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil ke Bahagian Trafik IPD Kulai atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Safuan Abu Naim di talian 017-7573507 bagi membantu siasatan. – UTUSAN
The post Ibu dan anak maut dalam perjalanan pulang ke rumah appeared first on Utusan Malaysia.






