Lelaki menyamar 'ADC Raja Muda Selangor', tunang didakwa lagi

17 Nov 2026 • 3:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lelaki menyamar 'ADC Raja Muda Selangor', tunang didakwa lagi
Seorang lelaki yang menyamar sebagai Pengawal Peribadi Sulit (ADC) kepada Raja Muda Selangor dan tunangnya didakwa di mahkamah. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Selang sehari dijatuhkan hukuman penjara dan sebatan, seorang lelaki sekali lagi dihukum penjara dua tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas empat pertuduhan menipu seorang doktor wanita membabitkan RM155,000 berkaitan pembelian hartanah serta kenderaan mewah.

Hakim Norma Ismail menjatuhkan hukuman itu ke atas Al Zulfadly Alias, 40, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan dan memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa bermula dari tarikh tangkap semalam (16 November).

Semalam, lelaki itu dijatuhkan hukuman penjara setahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah memperdaya seorang selebriti lelaki berusia 35 tahun berhubung urusan pembelian hartanah.

Terdahulu, dalam prosidng hari ini Al Zulfadly yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan telah insaf, serta menyifatkan tindakannya sebelum ini sebagai penganiayaan terhadap sesama manusia.

"Saya telah dijatuhkan hukuman penjara semalam atas satu lagi pertuduhan menipu. Saya mohon hukuman dikurangkan, agar dapat mencari rezeki yang halal di luar sana untuk membayar semula wang kepada orang-orang yang telah saya aniaya,” katanya.

Mengikut empat pertuduhan itu, Al Zulfadly didakwa bersama-sama tunangnya Nurul Nur Syahirah Kamarudin, 37, menipu mangsa berhubung tawaran pembelian aset hartanah di Eco Ardence serta sebuah kenderaan mewah jenis Lexus LM 500h, sehingga mendorong mangsa memindahkan wang berjumlah RM155,000 menerusi lima transaksi secara dalam talian ke akaun bank milik tertuduh di Jalan Ampang di sini, antara 2 hingga 19 Julai lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama-sama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebat dan boleh didenda.

Berdasarkan fakta kes, mangsa berkenalan dengan Nurul Nur Syahirah yang juga pesakitnya pada 1 September 2023, sebelum wanita itu memperkenalkannya kepada Al Zulfadly yang didakwa sebagai suaminya.

Tertuduh kemudian mendakwa mempunyai hubungan dengan Raja Muda Selangor bagi meyakinkan mangsa bahawa dia mampu memperoleh kenderaan mewah serta hartanah pada harga lebih rendah berbanding pasaran.

Mangsa yang terperdaya melakukan lima transaksi pemindahan deposit ke akaun bank milik Al Zulfadly, sebelum dijanjikan penyerahan kenderaan di tempat letak kereta Stadium Bukit Jalil dan Setia City Convention Centre di Shah Alam pada beberapa tarikh antara Julai hingga Oktober lepas, namun kesemua janji tersebut gagal ditunaikan.

Siasatan dengan pihak Istana Selangor kemudiannya mengesahkan bahawa lelaki itu bukan Pegawai Khas mahupun Pengawal Peribadi Sulit (ADC) kepada Raja Muda Selangor.

Timbalan Pendakwa Raya Batrisyia Mohd Khusri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal, memandangkan tindakan Al Zulfadly menyalahgunakan nama institusi diraja bagi memperdaya mangsa, selain membabitkan kerugian yang besar.

Semalam, Nurul Nur Syahirah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama dan dibenarkan diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah. - Bernama

 

 

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved