
PONTIAN – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) ditemukan rentung selepas rumah didiaminya terbakar dalam kejadian di Kampung Parit Kerimun Darat, Parit Kerimun, di sini awal pagi hari ini.
Mangsa, Azlisham Sulaiman, 51, disahkan meninggal dunia dalam kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 12.57 tengah malam.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian, Pegawai Bomba Kanan I Mohamad Nor Hafiz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum sepasukan anggota 17 dari BBP Pontian dan BBP Pontian Baru dikejarkan ke lokasi.
Pasukan bomba tiba di tempat kejadian pada pukul 1.25 pagi dan mendapati sebuah rumah jenis separuh kekal sedang terbakar.
“Pemeriksaan mendapati terdapat seorang mangsa OKU di dalam rumah berkenaan. Mangsa ditemukan dalam keadaan rentung sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohamad Nor Hafiz berkata, pasukan bomba menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan pam jentera bagi memadamkan kebakaran, manakala operasi berjaya dikawal pada pukul 1.54 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada pukul 3.24 pagi.
Kemusnahan akibat kebakaran dianggarkan kira-kira 75 peratus dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki OKU rentung dalam kebakaran rumah appeared first on Kosmo Digital.






