805 karton rokok seludup bernilai RM304,000 dirampas 

23 Aug 2026 • 1:31 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 805 karton rokok seludup bernilai RM304,000 dirampas 

PETALING JAYA: Polis merampas 805 karton rokok seludup bernilai lebih RM304,000 dalam serbuan di sebuah rumah pekerja yang dijadikan stor sindiket di Kampung Sungai Rambai, Jenjarom, kelmarin.

Serbuan kira-kira pukul 6.30 petang itu turut membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 40-an yang bertindak sebagai penjaga premis.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintenden Amanjit Singh berkata, operasi dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Risik Batalion 4 PGA Semenyih dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Kuala Langat.

Menurutnya, premis berkenaan adalah rumah pekerja yang terletak dalam kawasan sebuah bengkel lori dan disewa sindiket untuk dijadikan stor penyimpanan rokok seludup.

“Sindiket menggunakan bengkel kenderaan sebagai lokasi penyimpanan bagi mengaburi mata pihak berkuasa sebelum rokok dihantar kepada pembeli terdiri daripada peniaga kedai runcit warga asing.

“Penghantaran dilakukan bermula kira-kira 8 pagi sehingga selesai dan menggunakan khidmat syarikat kurier luar sebagai penghantar bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.

“Rokok berkenaan dipasarkan di kedai runcit milik warga asing sekitar Jenjarom,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amanjit berkata, sindiket itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan berkenaan sejak kira-kira empat bulan lalu.

“Suspek berperanan sebagai penjaga premis selain mengatur tempahan yang perlu dihantar kepada pembeli yang disenaraikan oleh majikannya.

“Berdasarkan rekod, rangkaian sindiket sama pernah ditangkap Batalion 4 PGA pada Mac lalu di Bukit Raja, Klang,” katanya.

Amanjit berkata, polis merampas 805 karton rokok pelbagai jenama tidak bercukai Kastam serta sebuah telefon bimbit yang disyaki digunakan dalam kegiatan pengedaran rokok berkenaan dengan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM304,893.50.

“Suspek bersama semua barangan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut Akta Kastam 1967.

“Kita menyeru masyarakat supaya memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat kepada polis berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya.- UTUSAN

The post 805 karton rokok seludup bernilai RM304,000 dirampas  appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved