
KULIM – Seorang lelaki Pakistan tidak sempat berniaga aiskrim selepas ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Kilometer 1 Jalan Padang Serai-Sungai Karangan, di sini semalam.
Lelaki berusia awal 30-an itu ditahan kira-kira pukul 10.54 pagi selepas mengambil bekalan aiskrim daripada pengedar di Padang Serai untuk dijual di kawasan berhampiran.
Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, hasil pemeriksaan mendapati berlaku salah guna Lesen Kenderaan Motor (LKM), selain terdapat pengubahsuaian kenderaan dan kesalahan teknikal.
“Susulan itu, lelaki terbabit dikenakan tindakan saman, manakala motosikal tersebut disita untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, hasil semakan mendapati lelaki terbabit baru berpindah dari Terengganu ke Kedah dan merupakan pemegang permit pekerjaan sebagai buruh binaan.
“Penunggang motosikal itu memegang permit pekerjaan sebagai buruh sektor pembinaan, namun turut didapati menjalankan aktiviti perniagaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki Pakistan tak sempat berniaga aiskrim appeared first on Kosmo Digital.






