
PETALING JAYA: Seorang lagi rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa luar negara kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah dan kali ini di India.
Lelaki berusia 54 tahun dari Perak itu ditahan pihak berkuasa India selepas dipercayai membawa sebanyak 4.033 kilogram (kg) ganja hidroponik gred tinggi melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai, India pada 8 Ogos lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima maklumat daripada Narcotics Control Bureau (NCB) India berhubung penahanan lelaki terbabit bersama dadah yang ditemukan disembunyikan di dalam bagasinya.
“Suspek merupakan lelaki warga Malaysia berusia 54 tahun dan berasal dari Perak. Semakan mendapati dia tidak mempunyai sebarang rekod lampau dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM),”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, suspek menaiki penerbangan Thai Airways TG337 dari Bangkok ke Chennai, India pada 8 Ogos lalu.
“Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai, pemeriksaan pihak Kastam Chennai terhadap bagasinya menemukan dadah jenis ganja hidroponik seberat 4.033 kg yang disembunyikan di dalam bagasi berkenaan,” jelasnya.
Hussein berkata, suspek kini ditahan pihak berkuasa India dan disiasat mengikut Narcotic Drugs and Psychotropic Substances (NDPS) Act 1985 sementara menunggu prosiding perbicaraan kes.
Beliau berkata, JSJN akan terus berhubung dengan pihak NCB India bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kes berkenaan, selain menjalankan siasatan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket yang dipercayai terlibat.-UTUSAN
The post Lelaki rakyat Malaysia ditahan di India, bawa 4kg ganja appeared first on Utusan Malaysia.






