

TELUK INTAN: Seorang lelaki mengalami kerugian kira-kira RM12.47 juta selepas aset kripto miliknya dipindahkan keluar daripada dompet digital tanpa pengetahuan dan kebenarannya.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, kejadian itu disedari mangsa berusia 38 tahun kira-kira pukul 1 tengah hari, semalam ketika berada di sekitar Teluk Intan.
“Berdasarkan laporan yang diterima, mangsa mendapati sejumlah aset kripto miliknya telah dipindah keluar daripada dompet digital tanpa pengetahuannya.
“Berdasarkan siasatan awal, transaksi berkenaan membabitkan pemindahan aset kripto menerusi rangkaian blockchain,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti pihak yang terlibat dan menjejaki aliran transaksi tersebut dengan bantuan Unit Kripto, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun, selain sebatan dan denda, jika sabit kesalahan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Alwi menasihatkan orang ramai, khususnya pengguna dompet digital dan aset kripto, supaya berwaspada terhadap ancaman pancingan data (phishing) dan penipuan dalam talian.
Katanya, pengguna juga diingatkan supaya tidak menekan pautan mencurigakan atau mendedahkan frasa pemulihan (seed phrase), kunci peribadi (private key) dan kata laluan kepada mana-mana pihak.
“Mereka juga perlu memantau keselamatan dompet digital dengan menyemak rekod transaksi dan sambungan aplikasi secara berkala, selain mengasingkan dompet simpanan daripada dompet yang digunakan untuk transaksi harian,” katanya.
Tambah beliau, pengguna yang mengesyaki akaun mereka digodam perlu mengambil tindakan segera dengan menyimpan bukti digital, menghubungi penyedia platform menerusi saluran rasmi dan membuat laporan polis. – UTUSAN
The post Lelaki rugi RM12.47 juta, aset kripto dipindahkan tanpa kebenaran appeared first on Utusan Malaysia.






