Lelaki Singapura Didakwa Halang Polis, Miliki Senjata Berbahaya

20 Aug 2026 • 8:10 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Lelaki Singapura Didakwa Halang Polis, Miliki Senjata Berbahaya

LJOHOR BAHRU - Seorang pemilik restoran warga Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas tiga pertuduhan, termasuk menghalang polis menjalankan tugas serta memiliki senjata berbahaya.

Tertuduh, Gary Lim Kian Liang, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris oleh seorang jurubahasa di hadapan Hakim Nor Aziati Jaafar dan Majistret Nurzihan Abdul Rehman.

Di hadapan Nor Aziati, Gary didakwa memiliki sebilah pisau berukuran 8.5 sentimeter tanpa permit sah di Jalan Lingkaran Dalam menghala ke Bangunan Sultan Iskandar, kira-kira jam 12.15 tengah malam, Ahad lalu.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di hadapan Nurzihan, tertuduh didakwa dengan sengaja menghalang Lans Koperal Mohd. Rahimi Mohd. Ali ketika anggota polis berkenaan menjalankan tugas pada masa, tarikh dan lokasi yang sama.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Gary turut didakwa menyebabkan kecederaan terhadap seorang wanita tempatan berusia 30 tahun menggunakan pisau di lokasi sama, kira-kira jam 11.58 malam pada 15 Ogos lalu.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.

Peguam yang mewakili tertuduh, S. Selvanteran, ketika merayu jumlah jaminan memaklumkan anak guamnya mempunyai tanggungan seorang isteri serta ibu yang sudah berusia dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Anak guam saya juga mempunyai masalah kesihatan mental, iaitu major depression, dan memerlukan rawatan kesihatan secara berterusan,” katanya.

Kedua-dua mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000, manakala kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 25 September.

Dalam perkembangan sama, seorang lelaki tempatan yang turut terlibat dalam pergaduhan berkenaan yang tular di media sosial, G. Thinesh Kumar, 28, turut mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret A. Shaarmini.

Thinesh didakwa menyebabkan kecederaan terhadap lelaki Singapura itu menggunakan topi keledar di lokasi dan pada waktu yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu dibenarkan diikat jamin sebanyak RM5,000, manakala kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 15 September. - Getaran, 20 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved