
JOHOR BAHRU - Seorang pemandu kenderaan berdaftar di Singapura didakwa terlibat dalam pergaduhan fizikal dengan beberapa anggota polis Malaysia di jalan menghala ke Kompleks Kastam Woodlands, awal pagi 16 Ogos lalu.
Menurut seorang saksi, Aeric, 40, kejadian berlaku kira-kira jam 12.08 tengah malam ketika beliau terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, Aeric berkata, beliau tidak mengetahui punca tercetusnya pergaduhan terbabit.
Beliau turut memaklumkan bahawa tiada kecederaan dilihat berlaku susulan kejadian itu.
Menurut laporan Mothership (Singapura), insiden tersebut menyebabkan sedikit gangguan kepada aliran trafik, namun tidak mengakibatkan kesesakan serius memandangkan keadaan lalu lintas ketika itu agak lengang.
Beberapa rakaman video yang diberikan saksi menunjukkan pemandu terbabit bertengkar dengan seorang anggota polis sebelum keadaan bertukar menjadi fizikal.
Keadaan kemudian semakin tegang apabila anggota polis berkenaan didakwa membaling topi keledar motosikal ke arah muka pemandu terbabit.
Pemandu berkenaan kemudiannya dilihat menolak dan menendang anggota polis tersebut sebelum seorang lagi anggota tampil meleraikan pergaduhan.
Kedua-dua lelaki itu akhirnya dibawa beredar dari lokasi kejadian, manakala beberapa anggota polis lain dilihat mengawal aliran trafik dan mengarahkan kenderaan memasuki lorong paling kanan.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan berhubung kejadian tersebut. - Getaran, 19 Ogos 2026






