
KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori ‘Black Maria’ Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas lima pertuduhan termasuk memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian tiga beranak di Jalan Sultan Ismail, awal pagi kelmarin.
Tertuduh, Mohd. Akbar Zainol, 43, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aliaa Anwar.
Untuk tiga pertuduhan pertama, tertuduh sebagai pemandu lori Isuzu `Black Maria’ didakwa memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian Shaik Mohd. Firdaus Shaik Yahya, 53, dan dua anak perempuannya, Siti Norshazlin, 24, dan Siti Darwisyah Auni, 12, di Jalan Sultan Ismail, di sini, pada pukul 1 pagi, 19 Ogos lalu.
Ketiga-tiga pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun dan denda antara RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan keempat, Mohd. Akbar didakwa memandu kenderaan sama dengan tidak cermat dan perhatian sewajarnya sehingga menyebabkan kecederaan kepada Nor Hayati Rozali, 55, isteri kepada Shaik Mohd. Firdaus, pada masa dan lokasi serupa.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum dengan denda hingga RM10,000 dan boleh dipenjarakan hingga 12 bulan, jika sabit kesalahan. Butiran kesalahan itu juga akan direkodkan dalam lesen memandu pesalah.
Bagi pertuduhan kelima, lelaki itu didakwa gagal mematuhi isyarat lalu lintas dengan melanggar lampu isyarat merah menggunakan kenderaan sama, pada masa dan lokasi serupa.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang menetapkan hukuman denda antara RM300 hingga RM2,000, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Syajaratudur Abd. Rahman mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan lapor diri di balai polis sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Peguam bela, Izzat Amir Saharudin mewakili Mohd. Akbar memohon jaminan rendah secara bagi kesemua pertuduhan atas alasan anak guamnya menanggung isteri, anak yang masih bersekolah dan ibu yang sakit tua di kampung.
“Tertuduh telah 11 tahun berkhidmat di JIM dan tiada rekod jenayah lampau. Dia juga seorang penjawat awam, jadi mohon kesemua lima pertuduhan diberikan jaminan rendah secara sekaligus.
“Syarat tambahan yang dicadang juga tidak wajar kerana (saya) percaya tertuduh akan hadir ke mahkamah sehingga kes selesai,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 bagi setiap pertuduhan, menjadikan keseluruhan jaminan perlu dibayar adalah RM60,000.
Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan iaitu lapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan penggantungan lesen memandu bermula hari ini sehingga kes selesai.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 27 Oktober ini. – UTUSAN
The post Pandu bahaya, sebabkan kematian: Pemandu imigresen mengaku tak salah appeared first on Utusan Malaysia.






