JOHOR BAHRU - Seorang lelaki warga Singapura mengaku tidak bersalah tiga pertuduhan termasuk menghalang tugas anggota polis dan memiliki senjata berbahaya ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret dan Seysen di sini pada Khamis.
Tertuduh, Gary Lim Kian Liang, 46, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Nor Aziati Jaafar dan Majistret, Nurzihan Abdul Rehman selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris.
Di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa memiliki sebilah pisau berukuran 8.5 sentimeter tanpa kebenaran yang sah di Jalan Lingkaran Dalam menghala Bangunan Sultan Iskandar di sini kira-kira 12.15 pagi, Ahad lalu.
Lelaki itu didakwa Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, di kamar berasingan, tertuduh turut tidak mengaku bersalah di hadapan Majistret Nurzihan Abdul Rehman atas pertuduhan menghalang tugas penjawat awam dan mendatangkan kecederaan.
Lelaki itu didakwa dengan sengaja menghalang seorang anggota polis bernama Lans Koperal Mohd Rahimi Mohd Ali dalam melaksanakan tugasnya pada waktu, lokasi dan tarikh yang sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Tertuduh juga didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas seorang wanita tempatan berusia 30 tahun menggunakan pisau di lokasi sama, kira-kira jam 11.58 malam pada 15 Ogos lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Mamu dan Izdhiyah Zahirah Ahmad Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam S. Selvanteran dan K. Shareveen.
Terdahulu, dalam rayuan ikat jamin, Selvanteran memaklumkan anak guamnya itu mempunyai masalah kesihatan mental dan memerlukan rawatan berterusan.
Selain itu, anak guamnya yang merupakan pemilik sebuah restoran di Singapura telah berkahwin namun tidak mempunyai anak masih menyara ibunya yang sudah uzur.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin keseluruhan RM20,000 dengan tiga penjamin rakyat tempatan dan menetapkan 25 September depan bagi sebutan semula kes.
Sementara itu, tertuduh rakyat tempatan, G Thinesh Kumar, 28, pula mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret A Shaarmini atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas warga Singapura berkenaan menggunakan topi keledar.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu didakwa mengikut Seksyen 324 kanun sama dibenarkan diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin tempatan.
Mahkamah menetapkan 14 September depan bagi sebutan semula kes berkenaan.
Sebelum itu, media melaporkan empat lelaki termasuk seorang warga Singapura ditahan berhubung kejadian menghalang polis trafik menjalankan tugas di tepi jalan sebelum masuk ke Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, mereka yang berusia 25 hingga 46 tahun itu ditahan antara jam 12.15 malam hingga 1.45 pagi, hari yang sama selepas menerima maklumat daripada orang awam.
Menurutnya, video yang memaparkan pergaduhan seorang lelaki menghalang tugas penjawat awam itu tular di media sosial.






