
Kota Kinabalu: Seorang lelaki tanpa dokumen berusia 41 tahun didakwa di Mahkamah Majistret pada Isnin atas pertuduhan mengedar syabu.
Tiada pengakuan direkodkan daripada Adsmil Joning selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus.
Tertuduh yang tidak mempunyai pekerjaan itu didakwa mengedar 77.56 gram syabu pada jam 1 pagi, 27 September lalu di ruang tamu sebuah rumah di Kampung Delima, Manggatal.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang daripada 15 kali jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 27 November depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.
Adsmil diperintahkan ditahan reman lanjut sehingga tarikh tersebut memandangkan pertuduhan terhadapnya tidak membenarkan jaminan.
Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Kareena Kaur Gill Karamjit Singh mengendalikan pendakwaan.


