Lelaki Tegur Warga Asing Didakwa Ambil Makanan Infak Di Masjid Secara Berlebihan

5 Jan 2026 • 12:35 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Kebanyakan masjid atau surau pastinya menyediakan makanan dan minuman infak terutamanya pada hari Jumaat kepada para jemaah.

Makanan dan minuman yang kebiasaannya disediakan dalam keadaan berbungkus ini dapat memudahkan jemaah untuk membawa pulang sama ada makan di rumah atau di tempat kerja sekiranya tidak mahu menjamah di sana.

Namun, tidak dinafikan ada pula segelintir individu yang gemar mengambil makanan terbabit secara berlebihan sehingga menyebabkan ada jemaah lain yang tidak mendapatnya.

Warga asing didakwa ambil makanan infak secara berlebihan

Baru-baru ini, tular di media sosial satu video memaparkan seorang lelaki menegur seorang individu yang dipercayai warga asing kerana didakwa mengambil makanan yang diinfakkan kepada para jemaah masjid secara berlebihan.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun Threads @berbicara, kejadian dipercayai berlaku di sebuah masjid di Shah Alam, Selangor.

“Aku ni asalnya malas nak tegur bab makan, lagipun bukan hak aku, orang yang infak. Tapi bila kau dan berlebih-lebih, aku kena tegur,” tulis di kapsyen.

Warga asing dakwa makanan sedekah yang dibawa milik rakan

Dalam video yang dikongsikan, kelihatan lelaki terbabit datang menegur warga asing berkenaan yang menaiki motosikal sambil membawa plastik putih berisi bungkusan makanan sedekah.

Individu tersebut kemudiannya menyatakan bahawa makanan terbabit adalah milik rakannya yang diletakkan di dalam satu plastik.

“Kau ambil banyak-banyak (makanan infak) kenapa? Ini makanan sedekah, tak boleh macam tu. Dia (rakan) datang dia ambil, bukan kau ambil untuk dia,” kata lelaki itu.

Bagaimanapun, warga asing terbabit mendakwa bahawa makanan berkenaan diambil sendiri oleh rakannya di masjid tersebut sebelum meletakkannya di dalam plastik terbabit.

Dalam rakaman, kelihatan ada dua lagi rakannya yang turut berada bersamanya di masjid tersebut.

Ada yang sorok makanan sedekah dalam gulungan sejadah dan baju?

Pemilik akaun kemudiannya meminta agar pihak pengurusan masjid tersebut cakna dengan perkara tersebut.

Dakwanya, sikap segelintir jemaah yang suka mengambil makanan infak secara berlebihan ini berlaku pada setiap minggu.

“Setiap minggu mereka bersikap demikian, ada yang sorok dalam gulungan sejadah, dalam baju dan macam-macam cara lagi,” tulisnya.

View on Threads

Untuk tonton video klik di [SINI]

Apa hukum ambil sedekah secara berlebihan? ini jawapan Jabatan Mufti WP

Menurut Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (WP), hukum mengambil sedekah seperti makanan di masjid secara berlebihan tidaklah haram sepenuhnya, namun ia terikat dengan beberapa situasi.

Situasi yang hukumnya boleh:

Sekiranya orang yang mengambil sedekah itu ialah orang yang memerlukan, atau mengambilkan untuk orang lain yang memerlukan seperti keluarganya yang dinafkahi, atau tetamu yang dirainya, maka hal itu dibolehkan dan tidak dilarang oleh Hukum Syarak.

Situasi yang hukumnya harus:

Sekiranya orang yang mengambil sedekah itu adalah seorang yang sudah cukup keperluannya atau kaya, maka hukum mengambil sedekah itu adalah diharuskan tetapi makruh, kerana orang kaya tidak dilarang daripada mengambil sedekah tetapi disunatkan untuk mengelakkan diri daripada mengambil sedekah.

Situasi yang hukumnya haram:

Sekiranya orang yang mengambil sedekah itu adalah seorang yang sudah cukup keperluannya atau kaya, sedangkan sedekah itu telah dikhaskan untuk orang miskin, atau telah diamanahkan oleh pemberi untuk diberikan dengan kaedah tertentu, maka hukum mengambil sedekah itu adalah haram apabila tidak diberikan dengan kaedah yang ditetapkan oleh pemberi sedekah.

Hal ini kerana ia boleh membawa kepada penafian hak orang lain seperti golongan fakir.

Namun, larangan ini dikecualikan jika tujuan mengambil sedekah adalah untuk mengelakkan daripada sedekah itu rosak seperti halnya makanan atau minuman, atau untuk mengelakkan pembaziran makanan akibat lamanya diletakkan di suatu tempat.

Isu mengenai barangan atau makanan sedekah yang diambil secara berlebihan ini bukanlah sesuatu yang baru, malah Jabatan Mufti WP sebelum ini pernah berkongsi pendapat.

“Kami berpendapat masalah di atas (kes terdahulu) berlaku atas sebab salah faham sahaja dan tidak wajar diperbesarkan. Ini kerana perbuatan seseorang yang mengambil lebih barang makanan yang disedekahkan orang boleh ditakwilkan dengan alasan-alasan seperti keperluan mendesak, ambil bagi pihak orang dan khuatir berlakunya pembaziran,” kata Jabatan Mufti WP.

Baca Artikel Berkaitan: “Saya Punya Kerja Teruk” – Warga Asing Dedah Gaji RM5,000 Sebulan Undang Perhatian [Video]

Baca Artikel Berkaitan: “Mereka Pun Nak Main Juga” – Ramai Berang Lelaki Persoal Warga Asing Guna Padang Main Bola Sepak [Video]

Baca Artikel Berkaitan: Pemuda Singapura Tawar Servis Potong Rambut Percuma Kepada Pekerja Warga Asing Raih Pujian [Video]