KUALA LUMPUR - Lelaki warga asing yang ditahan selepas dipercayai memecah masuk sebuah rumah sebelum menikam dua beradik di Taman Sri Bintang, Kepong, pada 29 September lalu direman selama tujuh hari.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam berkata, suspek direman bermula 30 September hingga 7 Oktober bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Menurutnya, setakat ini polis sudah merakam keterangan lima saksi terdiri daripada empat anggota polis dan seorang rakan suspek.
"Keterangan daripada mangsa, ahli keluarga serta suspek akan dirakam hari ini (4 Oktober)," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan dalam kejadian kira-kira jam 5.04 pagi 29 September lalu, polis menerima panggilan memaklumkan mengenai seorang lelaki dipercayai memecah masuk sebuah rumah di kawasan berkenaan.
Polis yang tiba di lokasi mendapati terdapat kesan kebakaran di bahagian luar rumah sebelum menemui dua mangsa yang juga adik-beradik dalam keadaan cedera dan bersembunyi di dalam tandas di tingkat bawah.
Susulan itu, suspek yang berada di bahagian tingkat atas rumah itu ditemukan bersama sebilah pisau sebelum ditahan untuk siasatan.
Kedua dua mangsa serta suspek yang mengalami kecederaan akibat tikaman kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 326 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

![[VIDEO] Jeritan wanita gagalkan cubaan ceroboh rumah](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/CEROBOH-RUMAH-1024x768.jpg)




