
KUALA LUMPUR - Seorang warga asing yang disyaki menikam dua beradik dalam kejadian pecah masuk rumah di Taman Sri Bintang, Kepong, Selasa lalu, direman tujuh hari bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam, mengesahkan suspek direman sehingga 7 Oktober ini.
Beliau berkata, polis setakat ini sudah merakam keterangan lima saksi termasuk seorang kenalan suspek, manakala keterangan mangsa, ahli keluarga serta suspek akan direkodkan hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.04 pagi, 29 September lalu, polis menerima maklumat berhubung kejadian pecah masuk di sebuah rumah.
Setibanya di lokasi, polis mendapati terdapat kesan kebakaran di bahagian luar rumah selain menemui dua mangsa, iaitu seorang lelaki dan adik perempuannya, mengalami kecederaan akibat ditikam.
Polis kemudian membuat pemeriksaan di tingkat atas rumah sebelum menahan suspek yang bersembunyi di dalam sebuah bilik.
Sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian turut dirampas.
Siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada cemburu selepas mangsa wanita kembali berhubung dengan bekas pasangannya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya dan Seksyen 435 kanun sama kerana melakukan khianat dengan api. - Getaran, 4 Oktober 2026





