Lebih RM450,000 milik warga asing dicuri penghantar makanan

4 Oct 2026 • 6:30 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Lebih RM450,000 milik warga asing dicuri penghantar makanan

BANGKOK – Polis Thailand telah menangkap seorang penghantar makanan yang dituduh mencuri wang tunai dan peralatan kamera bernilai lebih 3.69 juta baht (RM450,000) dari kediaman dua warga asing di daerah Muang, Phuket, lapor saluran berita The Bangkok Post.

Pihak Polis Chalong kelmarin memaklumkan bahawa suspek sebelum ini pernah menghantar makanan ke kedua-dua kediaman berkenaan sekaligus memberi peluang kepadanya untuk mengamati susun atur serta mengenal pasti laluan masuk ke rumah mangsa.

Menurut laporan, kedua-dua kejadian pecah rumah yang dilaporkan pada Rabu lalu itu melibatkan kecurian 12 barangan berkaitan kamera bernilai 387,788 baht (RM47,000) serta wang tunai berjumlah sekitar AS$100,000 (RM400,000).

Siasatan polis berjaya mengesan suspek selepas mendapati lelaki berkenaan menukar sebahagian wang dolar Amerika Syarikat (AS$) itu kepada mata wang baht di Patong, sebelum menggunakan hasil curian untuk membeli emas dan bertaruh dalam perjudian bola sepak.

Pihak berkuasa menahan suspek di sekatan jalan raya Tha Chat Chai ketika dia sedang memandu menuju ke Phuket dari negeri asalnya di Trang.

Hasil pemeriksaaan ke atas kenderaan suspek, polis merampas wang tunai bernilai AS$30,700 (RM120,000), 75,150 baht (RM8,100) serta barang kemas.

Polis kemudiannya turut berjaya memperoleh semula pelbagai barangan kes tambahan bernilai kira-kira 250,000 baht (RM30,000). – AGENSI

 

The post Lebih RM450,000 milik warga asing dicuri penghantar makanan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved