KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga asing ditahan polis kerana disyaki melakukan perbuatan tidak senonoh dan mengaibkan seorang wanita di kedai kopi di Brickfields di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa yang merupakan seorang pengurus syarikat berusia 31 tahun sedang berjalan bersama rakannya menuju ke premis berkenaan.
"Suspek yang dipercayai warga India telah datang dari arah bertentangan sebelum didakwa menunjukkan isyarat lucah ke arah mangsa.
“Selepas itu, suspek didakwa telah memasuki premis sama sebelum duduk bertentangan dengan mangsa dan bertindak merenung serta mengenyit mata berulang kali dalam keadaan disyaki mabuk,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Chang Hook berkata, perbuatan suspek itu menyebabkan mangsa berasa tidak selesa sebelum memaklumkan kejadian tersebut kepada pekerja premis berkenaan.
"Mangsa yang berasa terancam kemudian tampil membuat laporan polis bagi tindakan lanjut," katanya.
Beliau berkata, rakaman percakapan saksi turut mengesahkan kejadian berkenaan dan mangsa berada dalam keadaan tidak selesa akibat gangguan yang berlaku.
"Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota polis telah menahan suspek di sebuah kondominium di Jalan Berhala," katanya.
Chang Hook berkata, semakan lanjut terhadap identiti suspek akan dibuat bersama pihak Jabatan Imigresen Malaysia," katanya.
"Permohonan reman terhadap suspek akan dilakukan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," ujarnya.






