

BENTONG – Bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi tindakan seorang warga asing memandu bas persiaran ke Genting Highlands bagaikan memperjudi nyawa penumpang bas berkenaan.
Difahamkan pemandu berkenaan yang tidak mempunyai lesen memandu buat pertama kali memandu bas berkenaan bagi menggantikan pemandu asal yang tidak bertugas.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman berkata, susulan itu JPJ Pahang menyita bas persiaran berkenaan yang dipandu seorang lelaki warga asing dalam pemeriksaan di Terminal Genting Highlands kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi.
“Bas berkenaan membawa kira-kira 20 penumpang warga tempatan dari Kuala Lumpur ke Genting Highlands dan ditahan selepas selesai menurunkan penumpang di terminal berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati pemandu tidak memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL) Kelas E dan Lesen Vokasional (PSV) yang diperlukan untuk memandu bas persiaran,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya, tindakan penguatkuasaan turut diambil terhadap pemilik bas kerana membenarkan individu tanpa lesen memandu yang sah mengendalikan kenderaan tersebut.
“JPJ Negeri Pahang menegaskan bahawa aspek keselamatan penumpang tidak boleh dikompromi dan setiap pengusaha bas bertanggungjawab memastikan pemandu memiliki lesen memandu serta kelayakan yang sah sebelum dibenarkan beroperasi,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki warga asing ditahan pandu bas persiaran di Genting Highlands appeared first on Kosmo Online.






