hamden10/09/2026 - 14:37 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Sept - Sebidang tanah pegangan bebas milik Country Heights Holdings Bhd (CHHB) di Kajang, Selangor, akan dilelong atas perintah mahkamah susulan kegagalan syarikat melunaskan pinjaman.
Tanah seluas kira-kira 2.6 hektar di Jalan Sinar Pagi itu sebelum ini dicagarkan sebagai jaminan bagi pinjaman berjumlah S$11.5 juta atau kira-kira RM35 juta daripada CGS International Capital Singapore Pte Ltd.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Khamis, susulan perintah Mahkamah Tinggi, pemberi pinjaman berkenaan akan menjual tanah itu melalui lelongan elektronik pada 21 September 2026 dengan harga rizab RM55 juta.
CHHB sebelum ini pernah cuba melelong tanah sama pada 25 Mac 2025 pada harga rizab RM69.85 juta, namun lelongan berkenaan tidak berjaya.
Harga rizab terbaharu itu adalah RM14.85 juta atau kira-kira 21.3% lebih rendah berbanding harga rizab sebelumnya.
Tanah berkenaan dimiliki melalui anak syarikat milik penuh CHHB, Country Heights Commercial Development Sdn Bhd (CHCD).
CHHB berkata, penjualan tanah itu tidak dijangka memberi kesan kepada operasi harian kumpulan, selain kehilangan hak milik tanah tersebut sekiranya lelongan berjaya.
Syarikat itu kini sedang mendapatkan nasihat daripada pasukan perundangannya berhubung pilihan undang-undang atau komersial yang boleh diambil berkaitan lelongan tersebut.
Berdasarkan penyata kewangan terkini CHCD, nilai bawaan tanah berkenaan adalah kira-kira RM33.5 juta.
Bagaimanapun, CHHB berkata jumlah balasan jualan sebenar serta keuntungan atau kerugian daripada pelupusan tanah itu tidak dapat ditentukan pada masa ini kerana lelongan masih belum berlangsung.
CHHB akan membuat penilaian terhadap kesan kewangan kepada kumpulan selepas lelongan selesai atau apabila terdapat perkembangan material selanjutnya. - DagangNews.com






