Selepas tanah Kajang, Mines Waterfront milik Country Heights pula bakal dilelong pada harga RM152.7 juta

10 Sep 2026 • 6:38 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Selepas tanah Kajang, Mines Waterfront milik Country Heights pula bakal dilelong pada harga RM152.7 juta Image from: Selepas tanah Kajang, Mines Waterfront milik Country Heights pula bakal dilelong pada harga RM152.7 juta liza10/09/2026 - 18:38 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 10 Sept – Country Heights Holdings Berhad (CHHB) berdepan satu lagi proses lelongan hartanah apabila Mines Waterfront Business Park milik anak syarikatnya akan dilelong pada harga rizab RM152.77 juta pada 4 November 2026.

 

Perkembangan itu menyusul laporan pagi tadi bahawa satu aset milik kumpulan di Kajang turut berdepan lelongan atas perintah mahkamah susulan kegagalan melunaskan pinjaman kepada CGS International Capital Singapore Pte Ltd.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata lelongan Mines Waterfront Business Park itu membabitkan hartanah milik Mines Waterfront Business Park Sdn Bhd (Dalam Likuidasi) (MWBP), anak syarikat milik penuh CHHB, susulan tindakan penguatkuasaan oleh MBSB Bank Berhad (MBSB) terhadap pembiayaan yang masih tertunggak.

 

Proklamasi Jualan bertarikh 27 Ogos 2026 telah dikeluarkan berhubung hartanah berkenaan, susulan perintah Mahkamah Tinggi Malaya di Shah Alam pada 12 Disember 2025 dan 26 Ogos 2026 dalam prosiding yang dimulakan MBSB terhadap MWBP.

 

Hartanah itu akan dijual melalui lelongan awam menggunakan sistem e-Lelong Mahkamah pada 4 November 2026, jam 9 pagi, di bawah Permohonan Mahkamah Tinggi No. BA-38-558-02/2026.

 

Hartanah berkenaan mempunyai keluasan kira-kira 667,147 kaki persegi atau 61,980 meter persegi dan terletak di Petaling, Selangor. 

 

Ia merupakan tanah pegangan pajakan dengan syarat nyata bangunan komersial.

 

Harga rizab yang ditetapkan bagi lelongan itu ialah RM152.766 juta, manakala hartanah berkenaan merangkumi pembangunan Mines Waterfront Business Park termasuk blok pejabat yang telah siap, unit yang masih belum terjual, bangunan yang belum siap serta tanah komersial kosong.

 

Cagaran pembiayaan MBSB

CHHB berkata, hartanah tersebut sebelum ini dicagarkan kepada MBSB sebagai jaminan bagi kemudahan pembiayaan yang diberikan kepada MWBP.

 

Dalam pembiayaan berkenaan, CHHB telah memberikan jaminan korporat manakala pemegang saham utama CHHB, Tan Sri Lee Kim Yew, memberikan jaminan peribadi terhadap kemudahan pembiayaan tersebut.

 

Lelongan kehakiman itu merupakan sebahagian daripada proses penguatkuasaan dan pemulihan MBSB berhubung jumlah keberhutangan yang masih tertunggak.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Tanah milik Country Heights di Kajang akan dilelong atas perintah mahkamah pada 21 September 2026

 

CHHB menegaskan bahawa proses lelongan itu dilaksanakan susulan prosiding penguatkuasaan yang dimulakan MBSB dan perintah Mahkamah Tinggi, justeru ia bukan pelupusan secara sukarela oleh CHHB atau MWBP.

 

Berdasarkan harga rizab RM152.766 juta dan aset bersih kumpulan CHHB kira-kira RM581.15 juta, nisbah yang terpakai bagi transaksi tersebut adalah kira-kira 26.29%.

 

Kesan kewangan belum dapat ditentukan

CHHB berkata, lelongan itu tidak akan memberi kesan kepada modal saham terbitan serta pegangan saham pemegang saham utama syarikat.

 

Bagaimanapun, kesan kewangan muktamad kepada kumpulan hanya dapat ditentukan selepas lelongan selesai dengan mengambil kira hasil lelongan, bayaran dan pemulihan yang diterima MBSB serta sebarang pelarasan faedah.

 

Ia turut mengambil kira sebarang pemulihan daripada harta pusaka peribadi Tan Sri Lee Kim Yew serta sebarang baki liabiliti di bawah jaminan korporat yang diberikan CHHB.

 

CHHB berkata, tiada mana-mana pengarah dan/atau pemegang saham utama CHHB atau pihak berkaitan mereka mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam lelongan kehakiman tersebut, selain kepentingan yang mungkin timbul melalui pegangan masing-masing dalam CHHB.

 

Tan Sri Lee, sebagai pemegang saham utama CHHB, bagaimanapun telah memberikan jaminan peribadi berhubung kemudahan pembiayaan yang diberikan kepada MWBP.

 

Syarikat itu berkata, ia akan mengeluarkan kenyataan media penuh bagi memberikan butiran lanjut berhubung kemudahan pinjaman, pembayaran dan pemulihan yang telah dibuat setakat ini, termasuk pemulihan daripada dividen yang merupakan sebahagian daripada harta pusaka peribadi Tan Sri Lee serta faedah yang telah dibayar setakat ini. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved