johardy12/11/2026 - 17:29 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Nov - Rimbunan Sawit Berhad bersetuju menjual tanah ladang kelapa sawit seluas 613 hektar di Sarawak kepada Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) dengan harga RM18.39 juta secara tunai, sebagai sebahagian daripada usaha kumpulan itu menyusun semula portfolio tanah ladangnya dan memperoleh modal kerja.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Rimbunan Sawit berkata, anak syarikat milik penuhnya, R.H. Plantation Sdn. Bhd. menandatangani perjanjian jual beli dengan LAKMNS bagi tanah yang terletak di Sungai Bok, Bakong, Baram, dalam Bahagian Miri, Sarawak.
Harga pelupusan itu kira-kira 2.2% lebih tinggi berbanding penilaian pasaran sebanyak RM18 juta yang dibuat oleh penilai bebas, Henry Butcher Malaysia (Miri) Sdn. Bhd. pada 15 September 2026.
Tanah berkenaan mempunyai nilai buku bersih sebanyak RM1.13 juta setakat 31 Disember 2025, berdasarkan penyata kewangan teraudit terkini anak syarikat itu, berbanding kos pelaburan asal sebanyak RM1.84 juta pada Disember 1999.
Rimbunan Sawit berkata, pelupusan tersebut membolehkan kumpulan menyusun semula pegangan tanah ladangnya, merealisasikan nilai pelaburan serta mengurangkan perbelanjaan pengurusan dan pembangunan masa depan yang berkaitan dengan hartanah berkenaan.
Hasil pelupusan itu akan digunakan sebagai modal kerja, termasuk menampung perbelanjaan berkaitan transaksi tersebut, sekali gus membolehkan kumpulan menumpukan sumber kewangan dan pengurusannya kepada ladang serta kilang minyak sawit yang masih dimiliki.
Premier Sarawak pengerusikan lembaga amanah pembeli
LAKMNS merupakan sebuah badan amanah kebajikan Islam yang ditubuhkan bagi menyokong keperluan agama, pendidikan dan kebajikan masyarakat Islam di Sarawak.
Lembaga yang dianggotai 11 ahli itu dipengerusikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, manakala Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bertindak sebagai timbalan pengerusi.
Tanah pertanian seluas 613 hektar itu merangkumi kawasan tanaman kelapa sawit seluas 446.79 hektar, dengan pokok sawit berusia antara dua hingga empat tahun.
Tanah berstatus pajakan itu mempunyai tempoh pegangan selama 60 tahun yang akan tamat pada 29 Disember 2059 dan bebas daripada sebarang bebanan.
Mengikut perjanjian tersebut, LAKMNS akan membayar deposit sebanyak 10% atau RM1.839 juta ketika perjanjian ditandatangani, manakala baki RM16.551 juta perlu dijelaskan dalam tempoh tiga bulan selepas semua syarat terdahulu dipenuhi.
Transaksi dijangka selesai pada separuh pertama 2027
Transaksi itu memerlukan persetujuan bertulis daripada Pengarah Tanah dan Survei Sarawak serta Penguasa Tanah dan Survei, namun tidak memerlukan kelulusan pemegang saham Rimbunan Sawit.
Semua syarat terdahulu perlu dipenuhi dalam tempoh enam bulan daripada tarikh perjanjian, melainkan kedua-dua pihak bersetuju secara bertulis untuk melanjutkan tempoh berkenaan.
Rimbunan Sawit menjangkakan pelupusan tersebut dapat diselesaikan pada separuh pertama 2027, tertakluk kepada kelulusan yang diperlukan dan sekiranya tiada keadaan luar jangka.
Syarikat itu berkata, transaksi berkenaan dijangka tidak memberi kesan material terhadap pendapatan sesaham, aset bersih sesaham atau tahap penggearan kumpulan, selain tidak menyebabkan syarikat dikategorikan sebagai syarikat tunai atau berada di bawah Nota Amalan 17 (PN17).
Transaksi itu mempunyai nisbah peratusan kira-kira 4.9%, berdasarkan aset bersih disatukan teraudit kumpulan sebanyak RM377.26 juta setakat 31 Disember 2025.
Lembaga pengarah Rimbunan Sawit berpendapat cadangan pelupusan tersebut adalah demi kepentingan terbaik syarikat, sambil memaklumkan bahawa tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam transaksi itu. - DagangNews.com




